PANTUN


         PANTUN NILAM

Bunga melur di pinggir kali,
   Di pinggir kali  menjadi hiasan.
Kucipta pantun buatmu saudari ,
   Semarak Nilam empunya wawasan.

Mekar sejambak bunga gubahan,
   Jatuh sekuntum di atas peti,
Membaca itu suruhan Tuhan,
   Al-alaq diturun menjadi bukti.

Cerana kesumba indah tersemat,
   Cantik tersemat dambaan puteri,
Kekuatan umat minda sejagat.
   Ilmu ditimba sepenuh hati,
   

Harum sungguh bunga kemboja,
   Bunga karangan cantik tersemat,
Janganlah membaca kulit sahaja,
   Telitilah kandungan sehingga tamat.

Mekar angsana pandang tak jemu,
   Bunganya luruh ke dalam raga,
Buku laksana lautan ilmu,
   Dasarnya penuh mutiara berharga.

Daun nipah kajangnya rapat,
   Hidangan tetamu di Kuala Maran,
Buku menyimpan berjuta maklumat,
   Fakta, ilmu, cereka hiburan.

Anak muda pulang ke desa,
   Ibu dan ayah lama menanti,
Warga membaca tak buang masa,
   Khutub khanah teman sejati.

Pohon pedada di dalam taman,
   Jadi idaman si anak rusa,
Marilah anakanda marilah teman,
   Kita membaca sepanjang masa.

Meniti senja biasan mentari,
   Merkah setitis menjelang kabut,
Bacalah baca setiap hari,
   Tak akan habis ilmu dituntut.

Cantik sungguh si bunga kejora,
   Buat hiasan di hari minggu,
Marilah sahut seruan negara,
   Bangsa membaca bangsa yang maju.



               BAHASAKU

Tengkolok pusaka cantik hiasan,
   Berbatu delima berbenang sutera;
Pantun, seloka, syair, kiasan;
   Ramuan bahasa, pemanis bicara.

Mekar kuntuman, kelopak mawar,
   Harum mewangi di dulang tembaga;
Bahasa kebangsaan umpama penawar,
  Berdenyut di nadi, satukan warga.

Sampan kolek mudik ke selat,
   Sarat membawa permata nilam;
Bahasa dikelek kekal berdaulat,
   Bangsa ternama serata alam.

Berpuput pawana, nyaman di desa,
   Kumbang menyeri kenanga di laman;
Elok bahasa, cerminan bangsa,
Disanjung tinggi sepanjang zaman.

Berbumbung limas istana lama,
   Menyimpan sejarah Tanjung Puteri;
Bahasa Melayu warisan bersama,
   Jadi sanjungan warga bestari.

Halus tenunan songket sutera,
   Berbenang emas, motif siantan;
Bahasa berdaulat pacu negara,
   Berbilang bangsa kukuh ikatan.



2 comments: