PIDATO


PIDATO PIALA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012

SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI HAJI DORANI
45300 SUNGAI BESAR,
                                    SELANGOR DARUL EHSAN             

TAJUK : BUDI BAHASA AMALAN KITA
TARIKH : 23 MEI 2012
MASA : 5 MINIT
TEMPAT : SK SAPINTAS

Assalamualaikum wbk dan salam 1-Malaysia
Bismillahirrahmanirrahim


Pengerusi majlis yang ceria dan optimis,
Panel hakim yang  saksama dan berkarisma
Kelompok pendidik bestari,
Serta warga dewan yang dikasihi dekat di hati. 

Tirai dibuka menyusun kata,
Meranduk bicara penuh bergaya;
“Budi Bahasa Amalan Kita”
Tajuk pidato pilihan saya.

Mengupas tafsiran budi bahasa:
Profesor Doktor Sidek Baba menyatakan budi bahasa bermaksud amalan memupuk sikap kesalingan menggunakan bahasa yang baik, tanda hormat, penghargaan , terima kasih dan faham akan martabat seseorang. Budi bahasa adalah gambaran pancaran hati jernih yang diungkap secara baik dan mesra serta memberi kesan kepada orang lain.
Nah, sudah terang lagi bersuluh;
Menurut Kamus Dewan Edisi 4 muka surat 212 budi bermaksud akal, kebijaksanaan. Manakala dalam muka surat 106, bahasa pula bermaksud percakapan dan tingkah laku yang baik dan sopan santun.

Menyusuri hujah pertama, meninjau sudut agama:
          Sesungguhnya budi bahasa itu asas ajaran agama. Melaluinya, terjalin silaturahim ummah, memupuk rasa mahabbah dan ukhwah, mengelak permusuhan dan perpecahan, apa lagi pergaduhan!

 Sifat persaudaraan dapat disubur, sifat bongkak dapat dikubur, wujudkan masyarakat beradab, hapuskan masyarakat biadap. Insya-Allah, semangat perpaduan tidakkan mati, kerana agama menjunjung pekerti, masyarakat sejagat menjadi harmoni, impian ummah menjadi realiti.

Meneruskan perjalanan, hujah kedua; berfokus aspek pendidikan:
          Kata orang, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Semenjak kecil, kita dididik, kita dilentur agar budi bahasa tidakkan luntur, agar sopan-santun Melayu, tidakkan layu. Kanak-kanak,  sebelum meningkat remaja mudah dididik agar berbudi bahasa dan berperangai baik.
          Menghormati orang yang lebih tua menjadi budaya, mencium tangan mereka menjadi amalan, bertutur secara lemah lembut lagi bersopan, diajar tidak melawan, dan jika melakukan kesilapan, segera pula bermaaf-maafan.
          Kementerian Pelajaran Malaysia juga,  memain peranan, mengetengahkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bertujuan melatih, memupuk dan memastikan perkembangan sahsiah pelajar bertunjangkan
nilai-nilai budi bahasa yang terbaik.
            
Warga dewan yang berwawasan.

Hujah seterusnya, merenungi bersama prinsip Rukun Negara yang kelima : Kesopanan dan Kesusilaan.

          Bangsa Melayu merupakan etnik yang erat hubungan kemasyarakatan, mempunyai persefahaman, memiliki penuh cirri-ciri ketimuran, lemah-lembut serta penyayang. Ciri-ciri budi bahasa inilah yang menjadi ikon dan roll-model yang ideal kepada semua kaum di Malaysia, dalam mengaplikasi dan merealisasi prinsip Rukun Negara kelima; Kesopanan dan Kesusilaan sebagai mercu tanda identiti kebangsaan.

          Fenomena ini telah membuatkan para pelancong dan tetamu dari luar negara terpikat dengan budi bahasa rakyat Malaysia, memberikan gambaran positif yang ketara, yang pastinya memberikan impak memajukan sektor pelancongan negara.

Ayuh, kita teruskan dengan merintis hujah seterusnya, aspek sosial pula:
          Budi bahasa amalan kita, setiap masa, di mana-mana sahaja. Di rumah atau di sekolah, di desa atau di kota raya, malahan di pasar raya atau  di jalan raya. Semasa memandu kenderaan, sikap bertimbangrasa mengelakkan  kemalangan. Sikap berhemah mengurangkan samseng jalanan. Sikap tidak sabar patut dijadikan iktibar.

          Dalam aspek penggunaan kemudahan awam; telefon, tandas,  lampu dan sebagainya, sikap cermat dan berhemah dapat menyelamatkan harta benda milik bersama, tidak berlaku pembaziran, dan mampu dimanfaatkan tatkala kecemasan.
          Dalam konsep kejiranan, amalan bantu-membantu tanpa mengira waktu. Yang dekat dikunjungi, yang jauh dikhabari. Kata peribahasa “ Orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi, kitapun sama merasa” Sambutlah amalan mulia, “Budi Bahasa Amalan Kita”

          Bukan kupandang indah di mata,
                    Kerana hati telah bertaut;
Bukan kupandang intan permata,
                    Kerana budi, hati terpaut.

Warga dewan yang budiman,

Kembara hujah  di penghujung jalan, sejenak saya merumus kesimpulan:

          Agenda kita,  marilah sama-sama memperkasa, amalan berbudi bahasa sepanjang masa, kerana budi bahasa merupakan aset warisan bangsa.
          Sesungguhnya masyarakat yang  berbahasa, cerminan martabat bangsa. Masyarakat yang berbudi, cerminan bangsa yang berperibadi.
          Hujah saya setakat ini. Puteri Sungai Haji Dorani, mengundur diri. Salam permisi.
Wassalamualaikum wbk.












No comments:

Post a Comment